Bertahun-tahun menyimpan keinginan untuk melakukan perjalanan `backpacking` merentas beberapa negara Indochina menggunakan jalan darat bersama keluarga termasuk empat anak yang kini berusia antara tiga hingga 10 tahun, impian aku dan isteri akhirnya terlaksana pada 25 November sehingga 10 Disember lalu. (2019)
Ho Chi Minh, Vietnam; Phnom Penh, Kemboja; Bangkok dan Hua Hin, Thailand, adalah destinasi persinggahan kami selepas mengambil kira kekangan masa disebabkan kami mempunyai cuti yang terhad. Kami juga akan singgah di kampung di Kedah dan Ipoh, sebelum pulang ke rumah di Seremban.
|
kredit: Map diambil daripada Seat61.com sebelum diubahsuai |
Kami terpaksa keluarkan Laos dan bahagian utara Vietnam yang lebih cantik dan sejuk daripada itinerary disebabkan kekangan masa. InsyaAllah next time.
Jadual perjalanan juga diatur santai supaya tidak menjadi terlalu pantas bagi membolehkan kami menikmati perjalanan kembara ini dengan rentak lebih perlahan sesuai dengan kehadiran empat anak lelaki kami.
Perancangan awal adalah menggunakan kapal terbang dari Klia2 ke Ho Chi Minh sebelum menaiki bas ke Phnom Penh, seterusnya menaiki kereta api ke Poipet di sempadan Kemboja-Thailand, lalu menyambung perjalanan kereta api ke Bangkok, Hua Hin dan Padang Besar, Malaysia.
Bagaimanapun, sedikit perubahan terpaksa dibuat ketika kami berada di Phnom Penh berikutan perjalanan kereta api menuju ke sempadan Poipet ditunda pada waktu itu.
Ikuti catatan pengembaraan backpacking bersama keluarga kami.
Hari pertama:
Kami mengambil penerbangan Air Asia dari Klia2 ke Ho Chi Minh pada sebelah petang, namun berlaku kelewatan menyebabkan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat jam 12 tengah malam, lewat lebih empat jam daripada jadual asal.
|
di Klia2. Flight lewat empat jam, dapat voucher makan RM20/ person. |
Disebabkan keletihan, kami segera mengambil teksi lapangan terbang yang mengenakan tambang 200,000 VND untuk perjalanan sejauh lapan kilometer ke Cat Hotel di Nguyen An Ninh yang juga dikenali sebagai Malaysian Street.
(Note: kadar currency ketika itu 100,000VND=RM18).
Lokasi hotel kami di kawasan District 1 ini terletak hanya kira-kira 200 meter dari Ben Thanh Market yang menjadi tarikan utama pelancong di bandar raya ini yang dikenali sebagai Saigon sebelum tahun 1976.
Note: Cat Hotel adalah hotel bajet yang cantik, kemas dan bersih. Staf pula amat mesra dan helpful. Terletak betul-betul di hujung Malaysian Street, boleh nampak Ben Thanh Market dan pasar malam.
Terdapat banyak restoran makanan halal di street ini dengan anggaran harga makanan sekitar 70,000VND sehingga 100,000VND untuk menu nasi goreng ayam. Terdapat juga ramai peniaga kopi menaiki motosikal di jalan ini yang menjual kopi dengan harga RM3 atau USD1 bagi satu cup.
Hari kedua:
Kami meneroka kawasan Ben Thanh Market dan beberapa pasar raya termasuk Saigon Centre dan Saigon Square, sebelum mengunjungi bangunan ikonik Saigon Central Post Office dan City Hall selain The Cafe Apartment yang menjadi tarikan terbaharu bandar raya ini.
|
Saigon Central Post Office |
|
The Cafe Apartment |
|
'Stark' Tower |
|
Berhampiran Ben Thanh Market |
|
HCMC City Hall |
|
salah satu lorong di HCMC |
Pada sebelah malam, kami menjelajah pasar malam yang terletak di kawasan Malaysian Street dan Ben Thanh Market selain mencuba makanan tradisional Vietnam di restoran halal di kawasan itu.
Kami juga membeli pakej untuk ke Delta Sungai Mekong keesokan harinya dengan bayaran 320,000VND setiap orang. Bagaimanapun, dua anak kami berusia enam dan tiga tahun dikecualikan bayaran.
Terdapat beberapa agensi pelancongan yang beroperasi di Malaysian Street menawarkan pelbagai pakej pelancongan di Vietnam dengan harga munasabah. Kami beli pakej daripada Bismillah Tours.
Hari ketiga:
Perjalanan bersama beberapa pelancong lain dari Malaysia bermula jam 8 pagi dengan bas mengambil kami di hadapan hotel sebelum meneruskan perjalanan ke My Tho yang terletak kira-kira 70 kilometer dengan masa perjalanan selama hampir dua jam.
Antara pengisian trip yang berakhir jam 5 petang ini ialah menaiki bot menyeberangi Sungai Mekong ke beberapa pulau kecil untuk melihat pembuatan gula-gula kelapa, penghasilan teh limau madu lebah, menaiki kereta kuda padi, makan tengah hari (halal) dan menyusuri anak sungai menggunakan sampan.
Trip ini sesuai untuk keluarga dengan anak kecil kerana kereta sorong bayi boleh digunakan dengan mudah dan pelawat dibenarkan meninggalkannya di dalam bot atau bas jika tidak mahu membawanya bersama.
Peserta rombongan juga boleh solat di restoran tempat lunch.
|
makan buah tempatan termasuk dalam pakej |
|
naik sampan termasuk dalam pakej. Tips kepada tukang kayuh sebanyak 30VND tak termasuk. |
|
Sungai Mekong |
Kami juga dibawa singgah di beberapa kedai menjual pakaian, telekung dan tudung yang dikatakan paling besar/ paling murah di HCM. Tapi penasihat fesyen a.k.a isteri aku kata, sebenarnya lebih murah beli di pasar malam tepi jalan di Malaysian Street (di street ini sendiri, bukan di pasar malam keliling Ben Thanh Market).
Aku percaya wife aku sebab 4 malam dia berturut-tuut dia round pasar malam tu huhu.
Hari keempat:
Kami meneroka ke beberapa kawasan di District 1 dengan berjalan kaki untuk melihat kehidupan harian masyarakat tempatan sambil singgah di beberapa kompleks beli belah.
Masa berjalan kaki ni baru sedar, rupanya banyak tarikan pelancong termasuk Saigon Central Post Office, City Hall dan The Aprtment Cafe yang kami pergi sebelum ini, hanya berjarak kira-kira 1 hingga 1.5km sahaja. Jalan kaki pun boleh kalau larat dan cuaca tak panas.
Kami dikenakan tambang sekitar 35,000-100,000VND menaiki teksi dan grab untuk ke lokasi itu sebelum ini (grab lebih murah, tapi kadang-kadang susah nak jumpa meeting point).
Hari kelima:
Kami mendaftar keluar dari hotel jam 6.30 pagi untuk menaiki bas Mekong Express ke Phom Penh yang dijadualkan jam 8.30 pagi. Tiket dibeli lebih awal menggunakan laman web www.baolau.com dengan harga USD13 setiap orang.
|
Ketika in jam 6.30 pagi, dah cerah. |
Mekong Express dipilih kerana dikatakan adalah antara penyedia perkhidmatan terbaik bagi laluan ini, lebih-lebih lagi menempatkan kakitangan khas untuk membantu penumpang ketika melepasi sempadan Vietnam-Kemboja.
Bas ini juga mempunyai tandas di bahagian belakang, yang memudahkan kami menguruskan anak-anak jika mereka mahu membuang air.
|
menunggu bas Mekong Express di dalam pejabat wakil/ ejen syarikat di Backpackers Street HCM. Tiket online yang di rpint awal perlu ditukar kepada tiket di sini. semua beg juga ditag sebelum disimpan di compartment bawah bas. |
|
menunggu bas Mekong Express di dalam pejabat wakil syarikat di Backpackers Street HCM |
|
Baru melepasi pemeriksaan imigresen sempadan Kemboja |
Perjalanan ke Phom Penh sejauh 240 kilometer ini yang melalui sempadan Moc Bai, Vietnam dan Bavet, Kemboja dijadualkan mengambil masa enam jam, namun kami tiba lewat tiga jam disebabkan kesesakan jalan raya.
|
aktiviti dalam bas |
Mujur kami sudah membuat persiapan awal dengan menyediakan makanan sendiri untuk menghadapi perjalanan berkenaan.
Syarikat bas juga sediakan air mineral dan kek coklat untuk penumpang. Ambil maklum, kek itu kami check dan dapati tidak halal.
Terdahulu, urusan imigresen di sempadan juga lancar dengan bantuan kakitangan syarikat bas terbabit. Proses bermula dengan bas menurunkan kami di hadapan Stesen Pemeriksaan Sempadan Moc Bai sebelum menaiki bas semula, dan sekali lagi diturunkan di hadapan Stesen Pemeriksaan Sempadan Bavet.
Sebaik tiba di Phnom Penh, kami menaiki tuk tuk untuk ke hostel RSIII Location Hostel yang terletak berhampiran Muzium Kebangsaan Kemboja dan Grand Palace dengan bayaran 3USD bagi enam beranak termasuk empat beg galas besar bagi perjalanan sejauh 2.2 kilometer.
|
tuk tuk ride pertama di phnom penh |
Hari keenam:
Pada waktu pagi, kami mengunjungi Restoran Wau Phnom Penh milik rakyat Malaysia yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari penginapan untuk menikmati makanan halal.
Harga munasabah. Lebih kurang 5-6USD untuk makanan seperti nasi lemak ayam goreng, nasi goreng dan sebagainya. Sedap.
Terdapat juga restoran Bali yang dikatakan halal dekat hostel kami. Tapi kami tak pergi.
Kami bersantai di hostel pada waktu tengah hari bagi mengelakkan cuaca yang terlalu panas, sebelum keluar bersiar-siar ke beberapa tarikan pelancong pada sebelah petang. (Sila check waktu operasi jika nak masuk ke dalam).
|
view dari balkoni hostel RSIII Location Hostel Phnom Penh |
|
Di depan Royal Palace |
Terdahulu, kami mendapat maklumat, kereta api klasik yang ingin kami naiki dari Phnom Penh menuju ke sempadan Poipet, berhampiran Thailand tidak beroperasi keesokan hari. Mengikut jadual, kereta api laluan ini hanya beroperasi sekali sahaja seminggu iaitu pada hari Ahad.
Walaupun mempunyai banyak pilihan bas dan van untuk ke destinasi sama, kami cuba mencari kelainan sebelum dimaklumkan mengenai perkhidmatan hotel bas iaitu bas yang mempunyai katil.
Kami kemudian membuat sedikit perubahan jadual dengan memendekkan masa di Phom Penh lalu membeli tiket bas syarikat Virak Buntham yang bertolak pada jam 9.15 malam itu.
|
janji manis. dalam gambar memang cantik hehe |
|
sleeper bus |
Tiket dibeli daripada ejen yang beroperasi di lobi hostel pads harga USD13 bagi setiap orang, dengan anak bongsu dikecualikan bayaran. Kami diberi gambaran ruang tidur bas itu agak luas dan cantik, namun hakikatnya, ia agak sempit.
Jika anda ingin membuat perjalanan serupa, kami nasihatkan beli dua tiket bersebelahan walaupun anda seorang diri, melainkan anda rela tidur di sebelah orang asing!
|
dalam sleeper bus |
|
dalam sleeper bus |
Anda juga dinasihatkan pergi sendiri ke stesen pelepasan bas iaitu di pejabatnya yang terletak bersebelahan Pasar Malam Phnom Penh walaupun dijanjikan wakil mereka akan datang mengambil penumpang di hostel.
|
menunggu ketibaan bas di pejabat Virak Buntham Phnom Penh |
Kami hampir terlepas bas itu disebabkan tuk tuk yang dikatakan akan mengambil kami tidak muncul. Mujur kakitangan hostel membantu dengan segera memanggil pemandu tuk tuk lain menghantar kami ke stesen bas.
Berdasarkan pengalaman dan perkongsian beberapa penumpang lain di internet, kami dapati ketidakhadiran atau kelewatan wakil syarikat seperti dijanjikan adalah perkara biasa.
Bagaimanapun, sejujurnya, perjalanan bas yang turut dinaiki ramai orang tempatan itu agak lancar dan selesa, selain bas tidak dipandu dengan berbahaya, malah kami tiba di Poipet tepat jam 5.30 pagi mengikut jadual. Jangan risau, jam 5.30 pagi sudah cerah di sini.
|
baru tiba di Poipet. Jam 5.30 pagi sudah hampir cerah |
|
baru tiba di Poipet. Jam 5.30 pagi sudah hampir cerah |
Sebaik tiba di sempadan itu, kami dapati ia adalah seperti bandar 'koboi' yang mempunyai banyak kasino. Ramai pemandu tuk tuk mengerumuni penumpang untuk menawarkan khidmat. Kami menolak dengan baik dan bertegas mahu berjalan.
Berpura-pura tidak faham Bahasa Inggeris dan teruskan bercakap dalam bahasa Melayu dengan kuat sambil senyum amat membantu ketika ini๐
Ramai backpackers mat salleh kata kena scam dengan pemandu tuk tuk dan pemandu bas di sini. Antaranya M.O biasa, pemandu turunkan penumpang jauh dari lokasi sepatutnya dan penumpang tak sedar lalu tiada pilihan selain naik tuk tuk itu untuk ke border.
Aku sentiasa check google map untuk pastikan diturunkan di lokasi yang betul, seperti tertera pada tiket bas.
Lokasi tepat adalah di hadapan pejabat syarikat Virak Buntham di Poipet, di tepi roundabout kecil, kira-kira 100 meter sahaja ke pejabat pemeriksaan imigresen sempadan.
Kami kemudian ke stesen pemeriksaan imigresen Poipet yang terletak tidak jauh dari situ.
(dari roundabout, sila jalan di sebelah kanan jalan sebelum tiba di pejabat 'departure' untuk urusan pemeriksaan imigresen.
|
berhampiran stesen pemeriksaan imigresen kemboja |
Kami sebenarnya berjalan di sebelah kiri lalu terlepas jauh ke hadapan dan jumpa pejabat 'arrival' iaitu untuk orang yang datang dari Thailand. Sempat lah kena marah dengan pegawai imigresen sebelum diarahkan patah balik.
Melepasi sempadan Poipet sebenarnya agak mudah dan cepat, namun cabaran kami tiba ketika masuk ke stesen pemeriksaan imigresen dan kastam sempadan Ban Klong Luk, Thailand yang mengambil masa lebih dua jam disebabkan waktu puncak.
Sebaik melepasi pemeriksaan, kami terus sahaja ke stesen kereta api berhampiran untuk membeli tiket perjalanan ke Bangkok pada jam 1.53 tengah hari, sebelum dimaklumkan jualan hanya bermula jam 1 tengah hari.
|
sebaik melepasi sempadan kemboja masuk ke sempadan thailand, Ban Klong Luk |
Kami sebenarnya ada book The Border Hotel di sini sebab mengikut rancangan asal, kami hanya akan tiba di Ban Klong Luk petang ini menaiki kereta api. Disebabkan perubahan jadual, kami tiba lebih awal, jadi kami mahu terus ke Bangkok dan burn lah hotel itu.
Tapi since dah sampai, aku arrange dengan staf hotel untuk check in dan check out awal pada hari sama bagi bolehkan kami mandi dan berehat sementara tunggu train jam 2 nanti.
Kalau anda nak stay di sini, aku rekemen sangat. Hotel dekat dengan train station dan terdapat pasar sempadan yang amat meriah di sini.
BTW, terdapat hanya dua trip train ini ke Bangkok setiap hari iaitu jam 6.58 pagi dan 1.53 tengah hari, yang mengambil masa perjalanan selama kira-kira enam jam dengan harga tiket dewasa 49 Bath dan kanak-kanak (25Bath).
Keretapi klasik yang menjadi komuter masyarakat tempatan itu bertolak kira-kira jam 2 petang dan kami tiba di Stesen Hua Lamphong, Bangkok kira-kira jam 8 malam.
Jika anda mahu mode pengangkutan lain, terdapat banyak tour agency beroperasi di kawasan ini.
|
kereta api yang akan bawa kami ke bangkok. Kereta api akan betolak jam 2pm, tiket mula dijual jam 1pm. tapi kereta api tiba dua jam lebih awal dan penumpang boleh naik dulu cop tempat. Nak bergambar sampai lebam pun boleh. |
|
Seat tengak wehhh, pandai-pandailah nak hidup dan bagi selesa huhu |
|
penumpang belum ramai di ban klong luk dan akan bertambah ketika train berhenti di stesen kecil sepanjang perjalanan. |
Perjalanan yang jauh sejak malam sebelumnya meletihkan kami, justeru sebaik mendaftar masuk di Rambuttri Hotel yang terletak di Khaosan Road, kami segera membersihkan diri dan berehat.
Hotel ni pun aku rekemen, decent hotel, location cantik dan staf mesra.
Rancangan awal untuk merasai kemeriahan Khaosan Road yang menjadi tumpuan pengembara 'backpackers' seluruh dunia serta hidup dengan pasar malam dan kehidupan malamnya terpaksa ditunda.
Hari kelapan:
Kami tiada rancangan yang khusus di Bangkok melainkan bersantai di kawasan Khaosan Road pada waktu malam dan menziarahi Masjid Chakrabongse atau dikenali juga sebagai Masjid Chakrapong berhampiran kawasan itu pada waktu siang.
|
khaosan road |
|
khaosan road |
|
boleh juga kalau nak cuba daging buaya hehe |
|
kebab halal di khaosan road. 60 Bath. |
|
lorong nak ke masjid, ada kedai makan halal. |
Tetapi alang-alang sudah berada di sini, kami singgah di beberapa tarikan pelancong termasuk Wat Arun selain kompleks beli belah Mega Plaza yang terkenal sebagai pusat jualan permainan paling besar di Thailand untuk menghiburkan hati anak-anak. (dan menyeksa hati kami).
|
Wat Arun |
|
Mega Plaza |
|
air soft gun |
|
pelbagai permainan dijual dengan harga agak murah di sini. |
Hari kesembilan:
Waktu pagi kami bersantai di hotel sebelum mendaftar keluar dan bersiar-siar di sekitar Khaosan Road sementara menunggu kereta api ke Hua Hin dari Stesen Kereta Api Hua Lamphong pada jam 6.30 petang.
Tiket kereta api sudah dibeli lebih awal melalui laman web www.thairailwayticket.com dengan harga 94Bath bagi dewasa dan kanak-kanak (72Bath). Kereta api kami naiki ini adalah komuter harian masyarakat tempatan.
Perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer ini mengambil masa lima jam dan kami tiba di Stesen Kereta Api Hua Hin kira-kira jam 11.30 malam. Kami segera ke Chomsin Hotel yang sudah ditempah awal menaiki tuk tuk dengan bayaran 150 Bath bagi perjalanan sejauh satu kilometer.
|
train kelas 3 bangkok-hua hin. dari stesen hua lamphong orang belum ramai, bila masuk ke stesen kecil, lebih ramai orang akan naik bawa beg macam nak lari rumah |
Hari ke-10 dan 11:
Kami menggunakan kereta sewa Nissan Almeera yang ditempah awal dengan bayaran RM300 termasuk perlindungan insurans penuh untuk meneroka Hua Hin. Bagaimanapun, kami dapati, adalah lebih praktikal untuk mengambil pakej pelancongan harian pemandu teksi yang mengenakan bayaran kira-kira 1,500 Bath sahaja bagi sebuah kereta atau keluarga untuk mengunjungi lebih lima lokasi tumpuan pelancong sepanjang hari.
Berapa lokasi menjadi persinggahan kami selama dua hari ini, antaranya Stesen Kereta Api Hua Hin, Swiss Sheep Farm, Santorini Park, Camel Republic dan Pasar Malam Hua Hin.
|
Swiss Sheep Farm. Sebelah swiss sheep farm ada restoran halal sedap, abang mana nama dia. |
|
Santorini Park |
|
ada surau di santorini park, boleh tumpang solat |
|
camel republic |
|
ada beberapa ride juga di dalam camel republic, memang kena pow la dengan budak2 |
Kami juga tukar penginapan ke Serenity Hotel, kira-kira 5 km dari pusat bandar pada hari kedua di sini. Memang sudah buat tempahan awal, kononnya nak stay di hotel yang lebih selesa lengkap dengan swimming pool, untuk reward anak-anak.
Hotel memang cantik, tapi suhu Disember rupanya terlalu sejuk untuk kami mandi kolam, walaupun waktu tengah hari. Sudahnya, kami hanya sekali sahaja kami turun ke swimming pool, itu pun tak sampai 15 minit dapat bertahan.
Hari ke-12:
Kami menaiki kereta api dengan tempat tidur (sleeper train) dari Hua Hin ke Padang Besar, sempadan Thailand-Malaysia pada jam 7.15 malam yang mengambil masa kira-kira 14 jam.
|
sleeper train |
Kami hanya membeli empat tiket sahaja dengan anak berusia enam dan tiga tahun berkongsi tempat tidur dengan aku dan isteri. Harga bagi dewasa adalah 883 Bath bagi tempat tidur bawah, dan atas (793Bath), manakala tiket kanak-kanak adalah 652 Bath.
Hari ke-13-16.
Kami tiba di Padang Besar jam 9.30 pagi sebelum melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam yang hanya mengambil masa kurang setengah jam.
|
stesen kereta api padang besar. bangunan yang sama menemapatkan stesen pemeriksaan imigresen Thailand dan Malaysia. |
Alang-alang melalui kawasan utara semenanjung, aku dan isteri mengambil kesempatan singgah di kampung kami masing-masing di Kedah dan Perak sebelum pulang ke rumah di Seremban menaiki bas.
Walaupun perjalanan ini agak meletihkan, namun kami semua terutama anak-anak amat menyukainya kerana berpeluang mengembara menggunakan banyak kaedah pengangkutan awam berbeza selain melihat pelbagai ragam masyarakat.
Tetapi perkara paling penting adalah penulis dapat menilai sendiri bahawa laluan pengembaraan ini tidak begitu berbahaya seperti digambarkan sesetengah pihak, malah kami menemui ramai orang yang ramah dan sudi membantu sepanjang perjalanan ini.
Jika ditanya sama ada kami akan mengulanginya, penulis yakin kami akan melakukannya lagi, namun jajaran laluan akan diperluaskan merangkumi Laos dan bahagian utara Vietnam, malah mungkin sehingga ke Beijing, China sebelum menaiki kereta api Trans Siberia ke benua Eropah yang menjadi impian ramai pengembara.
TAMAT